PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin PKR menegaskan beliau tidak akan kembali ke parti itu dan meninggalkan Bersatu susulan kekalahan berturut-turut Perikatan Nasional (PN) pada dua PRK.
Bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Hilman Idham, berkata gesaan oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Faiz Na’aman itu sebagai tidak masuk akal kerana bukan PKR pemenang PRK terbabit.
“Yang menang Umno, mengapa perlu masuk PKR? PKR pun kalah di Sungai Bakap dan kekal sebagai ‘pembangkang terhormat’ di Johor.
“Beliau harus sedar PH hanya sekadar ‘tunggangan’ Umno untuk kembali berkuasa, tiada kelebihan lain buat PKR dan Pakatan (PH) di saat ini selain Anwar Ibrahim kekal perdana menteri,” kata Adun Gombak Setia kepada FMT.
Hilman turut mengingatkan Faiz yang menyertai PKR pada Mac lalu supaya tidak terlalu teruja bersama parti itu yang kini di tampuk pemerintahan Putrajaya.
“Kekuasaan mereka belum tentu kekal.
“Dalam PRU akan datang pun, Umno akan tetap menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan belum tentu akan bersama PH selepas pilihan raya,” kata Hilman yang meninggalkan PKR selepas ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.
Beliau turut menawarkan diri bertanding ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan parti November depan.
Ahad lalu, Faiz mempelawa ahli dan pemimpin Bersatu menyertai PKR susulan kekalahan besar calon parti itu berturut-turut dalam PRK Mahkota dan Nenggiri yang disifatkan isyarat penolakan masyarakat Melayu.
Malah, pada PRK Mahkota calon PN Haizan Jaafar tewas dengan majoriti besar 20,648 undi di tangan wakil BN Syed Hussien Syed Abdullah.