Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Saarani Mohamad berkata jika ahli politik dibenarkan bertukar parti, ia akan memberi isyarat salah kepada generasi muda.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Saarani Mohamad menasihatkan Tengku Zafrul Aziz terus setia kepada parti.
Menteri besar Perak itu berkata, budaya ahli politik bertukar parti dalam kerajaan perpaduan hanya akan menimbulkan rasa curiga dan hilang percaya antara parti komponen.
“Untuk tujuan jangka panjang, (budaya ahli politik bertukar parti) bagi mana-mana gabungan tak baik,” katanya menurut Berita Harian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Perak di Kelab Golf Diraja Perak di Ipoh.
“Saya bukan saja rujuk Tengku Zafrul, tetapi kepada sesiapa saja. Oleh sebab itu, saya bersetuju apabila Presiden Umno, Zahid Hamidi sebut elak membenarkan ahli sesama gabungan meninggalkan parti dan masuk parti lain.
“Yang ini (isu Tengku Zafrul) kita kata daripada Umno nak masuk PKR. Kemungkinan selepas ini ada (ahli) PKR nak masuk Umno. Jadi, kedua-duanya tak cantik. Kepada ahli parti, bersetialah kepada satu-satu parti.”
Menurutnya, jika ahli politik dibenarkan bertukar parti, ia akan memberi isyarat salah kepada generasi muda.
Semalam, Tengku Zafrul dilaporkan mengakui pernah berbincang dengan PKR, tetapi belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyertai parti itu.
Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, perbincangan awal berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun PRK.
Sebelum ini, Zahid mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada ketua Umno Kota Raja itu berhubung perkara terbabit.
Source link