Ini antara model yang paling menarik yang membuat kemunculan di Auto Shanghai 2025: Lexus ES generasi kelapan yang terbaru. Jika dahulu ES adalah model yang paling konservatif dalam barisan kenderaan Lexus, kini sedan eksekutif ini sudah jauh berbeza rekaannya — dengan pilihan model elektrik juga.
Rekaan luarannya sangat tajam, mengambil ilham daripada model konsep LF-ZC dan menampilkan DRL Twin-L LED yang mengapit wajah depan. Lampu utama juga semakin kecil dan disepadukan dengan sudut bampar hitam yang ditampilkan.
Bahagian sisi, rekaannya mirip fastback dengan bahagian tingkap yang luas dan panjang, sementara pintunya menampilkan grafik bentuk L yang menyambung garis bahu dan bahagian bawah kereta. Di belakang pula visualnya lebih tirus dan kemas, dengan lampu berkelebaran penuh dan lampu bentuk L. ES akan ditawarkan dalam tujuh pilihan warna, termasuk warna biru baru yang dinamakan Sou.
Bahagian dalamnya juga dirombak. Paparan skrinnya terdiri daripada kluster instrumen digital 12.3-inci dan sebuah lagi skrin sentuh lebar untuk infotainmen di kedua-dua ruang pemandu dan penumpang. Di bawah paparan tengah terletak butang-butang yang tidak kelihatan ketika kereta belum dihidupkan. Turut ada ialah bumbung kaca panoramik elektrokromik, sistem bunyak Mark Levinson dan pilihan penyandar kerusi boleh diturunkan.
Rekaan dalamannya juga banyak mengambil sentuhan daripada buluh, termasuk pilihan balutan hijau muda Aotake dan kemasan cetakan 3D dengan lampu ambient tembus. Keluasan ruang juga diperkemas dengan pertambahan panjang sebanyak 165 mm, dengan jarak roda juga bertambah 80 mm.
Ia menggunakan platform Global Architecture – K (GA-K) yang direka semula. Untuk sistem janaan, ada beberapa sistem hibrid ditawarkan. ES300h dipadankan dengan enjin 2.0-liter NA empat-silinder petrol dengan sebuah motor elektrik untuk memberikan output 197 PS, sementara versi pacuan semua roda dilengkapi enjin 2.5 liter NA dengan janaan 201 PS. ES350h pula menggunakan enjin 2.5 liter dengan output keseluruhan 247 PS.


Apa yang baru untuk ES ialah penawaran janaan elektrik sepenuhnya. ES350e pacuan roda depan menghasilkan 224 PS (165 kW) dan mempunyai jarak perjalanan sekitar 685 km mengikut kitaran CLTC, sementara ES500e menggunakan dua motor untuk pacuan semua roda dengan 343 PS (252 kW), dengan jarak 610 km.
Aspek keselamartan terdiri antaranya daripada Lexus Safety System+ yang dinaik taraf dengan fungsi eco baru untuk kawalan melayar adaptif, pengurangan laju selekoh berasaskan navigasi, bantuan pertukaran lorong lebih lancar, pertambahan sokongan di persimpangan untuk AEB, peninjau perhatian pemandu berdasarkan kamera, bantuan berhenti kecemasan dan lampu tinggi adaptif berdefinisi tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.