Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyelaraskan waktu operasi 46 cawangannya di negeri Sabah dan Lembah Klang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, 31 cawangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada di kawasan zon hijau/kuning beroperasi dengan waktu terhad dari jam 10 pagi hingga jam 3 petang, manakala 15 cawangan di zon merah di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur dibuka dengan perkhidmatan terhad dari jam 9 pagi hingga jam 2 petang (Sabah) dan jam 10 pagi hingga jam 3 petang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Cawangan Lahad Datu di Sabah ditutup sementara.
“Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara, kerajaan mengambil langkah melaksanakan PKPB. Mementingkan faktor keselamatan pelanggan dan kakitangan, kami komited untuk mematuhi langkah yang diambil untuk mengekang penularan pandemik ini termasuk mengehadkan waktu operasi di cawangan tertentu.
“Kami menggalakkan pelanggan menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam, platform Perbankan Internet Bank Islam (https://www.bankislam.biz) atau terminal-terminal layan diri.
“Selain itu, perkhidmatan E-banker kami juga tersedia untuk memudahkan transaksi perbankan perniagaan,” katanya.