PETALING JAYA: Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada menyerahkan “draf perjanjian” melalui “wakilnya” kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
Ketua Pemuda Bersatu mendakwa, perkara itu tidak diketahui sesiapa termasuk Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang semalam menafikan kewujudan dokumen terbabit.
“Yang kamu tak tahu ialah PMX (Anwar) sudah hantar wakilnya dah serahkan dokumen tersebut kepada ketua pembangkang.
“Bukan semua benda PMX cerita dengan kamu. Memanglah TPM dan kamu tak tahu. Bukan ‘fake news’,” katanya di X.
Beliau berkata demikian membalas hantaran Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari yang menyelar tindakan pembangkang mengeluarkan pelbagai kenyataan ketika rundingan sedang dijalankan.
“Belum apa-apa perjanjian atau perbincangan yang mendalam, dah mula jual cerita bukan-bukan. Pihak sebelah sana memang sinonim dengan golongan ‘fake news’ ke?,” soalnya.
Semalam, Fadillah berkata “draf perjanjian” yang diperkatakan pembangkang itu tidak wujud.
Fadillah, yang diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan Ahli Parlimen berkata, beliau tiada menyerahkan sebarang draf seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Hamzah.
Di Dewan Rakyat pada Khamis lepas, Hamzah berkata, pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan daripada Fadillah.
Ahli Parlimen Bersatu Rosol Wahid semalam dilaporkan berkata, Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun dalam “draf tawaran perjanjian baharu” itu.
Stay current – Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
FMT telah menghubungi Fadillah dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapat maklum balas.