PETALING JAYA: Ahli politik veteran, Michael Chen, juga bekas timbalan presiden MCA yang kemudian meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, meninggal dunia hari ini pada usia 92 tahun.
Kematiannya disahkan Presiden MCA, Wee Ka Siong.
“Menerima berita sedih mengenai Tun Michael Chen, bekas timbalan presiden MCA yang telah meninggal dunia hari ini.
“Sumbangan dan peranan semasa hayatnya kepada masyarakat, MCA serta negara akan sentiasa dikenang,” katanya dalam catatan Facebook.
Wee berkata, Chen memberi sumbangan besar, khasnya dalam memudahkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China melalui “diplomasi ping pong”.
Menurutnya, usaha gigih beliau dalam memupuk hubungan ini membawa kemajuan dan kerjasama bermakna antara kedua-dua negara.
Chen diketahui rapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein yang mengetuai lawatan bersejarah ke China pada 1974.
Wee berkata, Chen ialah veteran parti yang setia dan menyokong parti, walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot, beliau tetap menghadiri program anjuran parti dengan penuh semangat.
Peguam itu menceburkan diri dalam politik dengan bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Damansara pada PRU 1964. Tetapi, pada 1969, beliau kehilangan kerusi itu kepada Hor Cheok Foon dari DAP.
Tiga tahun kemudian, beliau bertanding di kerusi Parlimen Ulu Selangor dan menewaskan calon DAP, Lau Dak Kee.
Beliau meninggalkan MCA dengan sekumpulan penyokong selepas timbul perpecahan dalam parti dan menyertai Gerakan, di mana beliau memenangi kerusi Parlimen Beruas dari 1982 hingga 1986.
Dari 1997 hingga 2003, Chen berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Negara dari 1997 hingga 2000 dan speaker dari 2000 hingga 2003.
Chen juga pernah berkhidmat sebagai menteri perumahan, kerajaan tempatan dan kampung baru dari 1974 hingga 1979. Sebelum itu, beliau ialah menteri fungsi khas dari 1972 hingga 1974.
Beliau dianugerahkan Seri Setia Mahkota (SSM), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun pada 2017 sempena Hari Keputeraan bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Source link