hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Segmen automotif UMW Holdings Bhd dijangka mencapai sasaran jualan bagi 2020.
Ia berikutan penjualan yang memberangsangkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dan syarikat bersekutunya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, segmen automotif kembali pulih dengan stabil daripada kemerosotan awal tahun ini, kesan daripada langkah diambil untuk membendung penularan Covid-19.
“Peningkatan permintaan juga didorong oleh insentif pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
“Kami jangka dapat mencapai sasaran jualan 53,000 unit tahun ini selepas mencatatkan penjualan 6,267 unit pada November 2020, sekali gus menyaksikan jumlah jualan kepada 50,074 unit untuk 11 bulan pertama tahun ini.
“Toyota Vios, Yaris dan Hilux kekal sebagai model terlaris UMWT sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Perodua terus mengekalkan prestasi cemerlang dan mencapai hampir 93 peratus daripada sasaran jualan sebanyak 210,000 unit untuk tahun ini, dengan penjualan 23,119 unit pada November, termasuk jumlah penjualan harian yang memberangsangkan iaitu 5,027 unit pada hari terakhir bulan berkenaan.
“Untuk 11 bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 194,983 unit. Myvi terus kekal sebagai model terlaris tahun ini diikuti Axia dan Bezza,” katanya.