PETALING JAYA: Umno akan memperkukuh kerjasama dan gerak kerja bersama parti-parti komponen kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata langkah itu manifestasi keseriusan dan komitmen memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat, dan kemakmuran negara.
Menurut Asyraf, kemenangan di DUN Mahkota memberi isyarat bahawa rakyat menerima baik model kerjasama kerajaan perpaduan berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, dan tidak ekstrem.
“Kemenangan ini tidak harus menjadikan Umno angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, ahli Umno diminta berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum, dalam menghadapi musibah khususnya musim tengkujuh yang mendatang.
Barisan Nasional (BN) mempertahankan DUN Mahkota dengan bergaya pada PRK 28 Sept lepas, apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding PRN dua tahun lalu.
Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, kerjasama gabungan itu dengan PH akan menjadi contoh kepada gerak kerja jentera kerajaan perpaduan pada pilihan raya akan datang.