Kuala Lumpur: Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) mengumumkan anak syarikatnya, TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) sudah diberi kelulusan bersyarat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk beroperasi sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TNG, Effendy Shahul Hamid berkata, kelulusan bersyarat yang diberikan oleh SC ini akan membolehkan syarikat mengurus pengendalian serta mengedarkan produk pasaran modal secara langsung termasuk dana unit amanah pasaran wang melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet tanpa membabitkan aplikasi pihak ketiga.
“Ia menjadi yang pertama di dalam industri ini. Pihak kami, di samping pengawal selia serta rakan-rakan kongsi sudah berusaha keras untuk sampai ke tahap ini. Status RMO akan membolehkan kami menawarkan kepelbagaian produk digital yang inovatif kepada pengguna kami dan pada suku pertama tahun ini, produk kewangan yang berbentuk pelaburan akan dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan.