PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing seru pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Beliau turut memberi jaminan akan membantu mengadakan rundingan dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri menangani masalah kekurangan pekerja bagi memenuhi keperluan masa penginapan pelanggan.
“Penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara. Misalnya pelanggan mendaftar masuk pada 2 petang dan keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada 1 petang,” katanya dalam catatan Facebook.
Menurut Tiong, ia bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri malah pelanggan juga mahu merasakan wang yang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima.
“Jika gagal, pelanggan akan menerima pengalaman penginapan yang tidak memuaskan dan ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan,” katanya sambil menambah perkara itu telah dibangkitkannya semasa pertemuan bersama wakil beberapa persatuan industri hotel, Khamis lalu.
Tambahnya, beliau akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubungan kesulitan industri perhotelan mengambil pekerja asing.
“Ini termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus, tanpa melalui perantara.
“Pada masa ini, mereka tidak menikmati keutamaan apabila memohon untuk pengambilan pekerja asing, malah bilangan negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing amat terhad dan menjejaskan tenaga kerja,” katanya.
Sebelum ini, persatuan pengguna seru kerajaan gubal peraturan menyelaras waktu daftar masuk dan keluar hotel agar setimpal dengan tempahan bermalam, susulan tular catatan pengguna media sosial yang tidak berpuas hati ada hotel menetapkan daftar masuk pada 4 petang, manakala daftar keluar pada 11 pagi.