AIRASIA bekerjasama dengan rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar, Traffic untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemerdagangan haram hidupan liar dalam sektor penerbangan.
Ketua Perhubungan Kerajaan, Hal Ehwal Global dan Kemampanan Kumpulan, Shasha Ridzam berkata, AirAsia menyedari skop pengaruhnya dan komited untuk memastikan keputusan serta tindakan syarikat penerbangan itu menjana hasil positif bagi kehidupan dunia yang lebih baik.
“Sebagai jenama yang bertanggungjawab, AirAsia memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu utama dan cabaran yang menyelubungi perdagangan haram hidupan liar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kerjasama antara AirAsia dan Traffic itu membabitkan perbincangan mengenai kesedaran untuk memberi penekanan bagaimana kakitangan AirAsia boleh menjadi perisik tambahan bagi membanteras dan mengurangkan aktiviti pemerdagangan haram hidupan liar.
Syarikat penerbangan itu juga akan bekerjasama dengan Traffic untuk menyediakan latihan berasaskan peranan khusus kepada kakitangan terpilih AirAsia yang mungkin bertembung dengan perdagangan haram hidupan liar ini ketika menjalankan tugas termasuk pengendali kargo dan darat, kru kabin serta perkhidmatan penumpang.
Perdagangan haram hidupan liar yang bernilai AS$20 bilion setahun adalah juga pasaran gelap keempat paling menguntungkan di dunia.