PETALING JAYA: Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan mencadangkan agar faktor sosial ekonomi turut dipertimbangkan dalam sistem kuota pelajar di institusi pengajian tinggi dan pada masa yang sama mengekalkan kuota Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, adalah wajar untuk kekal mempertahan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera, namun pemberat dalam pengambilan pelajar tersebut seharusnya diubah mengikut zaman.
“Katakanlah 30% ambil soal sosial ekonomi, 30% ambil soal Bumiputera dan lain-lain mengambil kira meritokrasi. Maknanya kita masih mengekalkan perkara berkaitan kedudukan istimewa Bumiputera dalam Perlembagaan.
“Cara itu tidak mengubah struktur negara kita, pada masa sama dapat mengekalkan semangat patriotik di kalangan golongan bukan Bumiputera di negara,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap.
Tambahnya, kerajaan harus mendedahkan ketelusan cara pengiraan dalam proses pemilihan (untuk diterima ke IPTA).
“Sebaik-baiknya rakyat seluruh kaum boleh memahami bagaimana proses itu. Mungkin mereka masih rasa cara pengiraan itu tidak adil, tapi sekurang-kurangnya proses kemasukan itu diketahui,” katanya.
8 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sistem kuota pelajar Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan.
Tegasnya, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk membantu pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang dalam pelajaran.