Kuala Lumpur: Covid-19 jelas sekali memberi kesan hebat kepada pelbagai industri di dalam negara, tidak terkecuali projek kereta api mega negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT).
Walaupun Malaysia agak terkejut seketika dengan situasi yang dicetuskan pandemik itu, apa yang menarik, pelaksanaan projek infrastruktur ini dilihat terus berjalan lancar ke arah penyiapan dengan bantuan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Ini seiring janji Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan semua projek di bawah Belanjawan 2020 termasuk ECRL dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lalu.
Mengenai landasan ECRL yang disifatkan sebagai game-changer untuk penduduk pantai timur Semenanjung, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak yakin landasan sepanjang 640 kilometer itu akan siap mengikut jadual.
“Ini ialah kerana keseluruhan projek ini sedikit awal daripada jadual berikutan kerja pembinaan yang cepat untuk penjajaran ECRL di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab),” kata beliau kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurutnya, projek itu mencatat kadar kemajuan keseluruhan 18.10 peratus, setakat ini berbanding 16.86 peratus pada Jun.
Selain itu, projek itu hanya 0.02 peratus tertunda dalam jadual pelaksanaannya selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.
Sehubungan itu, MRL berharap Belanjawan 2021 dapat menyediakan insentif yang boleh merancakkan kerja pembinaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan.
Dalam pada itu, Pengasas dan Rakan Pengurusan kumpulan Thought Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid berkata, seperti ECRL yang berjalan lancar walaupun pada kadar perlahan, begitu juga projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang turut menunjukkan kemajuan.
Beliau berkata, LRT3 dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024 dengan 33.12 peratus projek itu siap setakat ini.
Sebaik sahaja selesai, projek yang meliputi laluan sejauh 37.8 kilometer itu akan menghubungkan Koridor Barat Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
Sementara untuk projek MRT, pemaju itu memaklumkan kemajuan untuk Laluan Putrajaya ialah pada tahap 79.2 peratus setakat akhir Ogos lalu.
Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma’aris, dalam laporan berita baru-baru ini, menyatakan fasa pertama membabitkan stesen MRT Kwasa Damansara dan Kampung Batu sepatutnya boleh mula beroperasi menjelang pertengahan tahun depan dan selebihnya pada 2022.
Laluan MRT Putrajaya adalah laluan kedua di bawah projek MRT Lembah Klang.
Ia akan mempunyai 36 stesen dengan sembilan daripadanya berada di bawah tanah.
Keseluruhan jajaran adalah 56.2 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.