Calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah menyantuni penduduk Mahkota. (Gambar Facebook)
KLUANG: Memasuki minggu terakhir kempen PRK Mahkota, calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah terus giat ‘menjelajah’ dari rumah ke rumah untuk mendekati lebih 66,000 pengundi tanpa mengira latar kaum dan agama.
Syed Hussien berkata, demografi pengundi DUN Mahkota meliputi Melayu (56%), Cina (34%), India (8%), dan lain-lain (2%) memberi cabaran tersendiri, dan berusaha menyantuni semua lapisan masyarakat seberapa ramai yang boleh.
“Saya akan cuba mendekati seberapa ramai pengundi kerana 66,500 bukan satu angka yang kecil tetapi setakat ini pertemuan saya dengan masyarakat setiap lapisan bangsa, agama yang saya jumpa secara menyeluruh.
“Tidak hanya tertumpu kepada satu-satu kaum atau peringkat umur saja,” katanya ketika ditemui dalam siri kempen PRK Mahkota bersama Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih dengan 52% daripadanya berusia 39 tahun ke bawah.
Sementara itu, Akmal berkata jentera perpaduan mengambil pendekatan tidak akan mengamalkan kempen melalui ceramah besar-besaran, sebaliknya menggunakan media sosial dan rumah ke rumah dalam menambat hati penduduk Mahkota.
“Kita lihat cara orang muda di Mahkota ini begitu, mereka mahukan gaya kempen baru dan segar,” katanya.
Katanya, sikap mudah mesra Syed Hussien dengan anak muda juga memberi kelebihan kepada calon BN berbanding lawan.
“Syed Hussien memang dah berada di hati orang muda Mahkota…seperti mana Mawi (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) di Nenggiri, begitu jugalah Hussien di Mahkota,” katanya.
Ketua Pemuda Kluang itu aktif dalam kerja kebajikan di Kluang, selain diberi amanah sebagai ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian.
PRK Mahkota 28 Sept menyaksikan Syed Hussien berdepan saingan dua penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Source link