Mangsa penipuan juga perlu membuat laporan polis dan laporan ke pihak bank berkaitan untuk siasatan lanjut, kata setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin.
PETALING JAYA: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mula beroperasi 24 jam hari ini menerusi talian 997 bagi membolehkan orang ramai membuat aduan berkaitan penipuan siber.
Setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, NSRC bertujuan membantu mangsa mengambil tindakan segera berbanding terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.
“Tindakan segera akan dijalankan dengan membekukan akaun serta menyekat pengeluaran wang seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Noorsiah berkata, mangsa penipuan juga perlu membuat laporan polis dan laporan ke pihak bank berkaitan untuk siasatan lanjut.
“NSRC merupakan inisiatif bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan menangani kes-kes jenayah siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam menyalurkan maklumat mengenai perbankan peribadi apabila diminta oleh mana-mana pihak,” katanya.
Pada 7 Okt tahun lepas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan NSRC sebagai salah satu inisiatif menangani kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.
NSRC ialah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa penipuan siber.