Muda yang dianggotai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan menarik diri daripada kerajaan pada September tahun lepas.
PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon semakan mahkamah ke atas keputusan kerajaan belum menyalurkan, menghentikan atau membatalkan peruntukan sebanyak RM730,300 bagi kawasan Parlimen Muar.
Ahli Parlimen Muar itu mahu mahkamah memerintahkan responden menyalurkan wang tersebut dan peruntukan buat tahun 2024.
Syed Saddiq menamakan perdana menteri dan kerajaan sebagai responden. Beliau juga memohon semakan ini bersama tiga individu lain.
Menurut affidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Syed Saddiq mendakwa peruntukan itu dihentikan atau dibatalkan selepas partinya, Muda, membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan pada September tahun lepas.
Syed Saddiq berkata keputusan kerajaan itu melanggar harapan yang sah beliau sebagai Ahli Parlimen Muar, salah dalam undang-undang, tidak munasabah, dan tidak berperlembagaan, sedangkan kawasan Parlimen yang mana Ahli Parlimennya berada di blok kerajaan menerima peruntukan.
Sebaliknya, kata wakil rakyat itu lagi, Ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan/atau menyokong kerajaan menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing.
“Sistem demokrasi negara serta prinsip pengasingan kuasa akan terjejas, di mana pihak eksekutif dan/atau responden-responden menggunakan peruntukan ahli-ahli Parlimen sebagai alat tawar-menawar untuk mendapatkan sokongan daripada pihak legislatif, terutamanya ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang,” katanya dalam permohonan itu.
Syed Saddiq menamakan lima Ahli Parlimen pembangkang tersebut iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Dalam tuntutannya, Syed Saddiq memohon mahkamah membatalkan keputusan-keputusan yang berkenaan, dan memerintahkan responden menyalurkan RM500,000 dan meluluskan dan/atau menyalurkan peruntukan kepada projek-projek telah diluluskan, yang berjumlah RM230,300.
Menurutnya, RM500,000 itu bagi tujuan perbelanjaan untuk program-program bentuk kebajikan, kesejahteraan rakyat, dan bencana; manakala RM230,300 itu untuk projek seperti sumbangan bagi membiayai kos pembangunan sebuah pusat sumber sekolah.
Syed Saddiq juga mahu menghidupkan aksesnya kepada sistem MyKHAS, dan menyalurkan peruntukan kepada pusat khidmat Parlimen Muar pada kadar yang sama seperti peruntukan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen kerajaan buat tahun 2024.
Semakan mendapati kes akan dibawa untuk e-semakan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin. Kes difailkan oleh Messrs Lim Wei Jiet.
Source link