Tahun ini smart akan membawa sebuah model baru, iaitu smart Concept #5 ke Beijing Auto Show, yang akan berlangsung minggu ini. Ia adalah sebuah SUV konsep saiz sederhana, dan bakal menjadi model paling besar bagi jenama tersebut.
Sementara smart #3 yang diperkenalkan sebelum ini mempunyai bentuk SUV coupe, Concept #5 pula kelihatan lebih berpetak dan tegak, dan tampil dengan pelbagai kelengkapan seperti tayar offroad, lampu LED atas bumbung, skid plate depan dan belakang dengan winch serta tangga boleh lipat di belakang. Ia seperti dijadikan untuk kegunaan lebih lasak.
SUV elektrik konsep ini datang dengan pacuan semua roda, hasil daripada penggunaan dua motor serta sistem elektrikal 800 volt bersama bateri yang berkapasiti lebih 100 kWh. Menurut smart, apabila menggunakan pengecas pantas, baterinya boleh naik dari 10-80% dalam masa 15 minit dan memberikan jarak gerak sehingga 550 km apabila bateri penuh.
Ukuran dimensi Concept #5 ini masih belum didedah tetapi smart merujuk saiznya sebagai mempunyai “jejak yang cekap”, manakala jarak dari roda ke tayar (overhang) hadapan dan belakang adalah pendek. Pintunya dibuat untuk terbuka secara suicide dan di dalam terdapat empat tempat duduk, dengan konsol tengah yang panjang sehingga ke belakang.
Di atas papan pemuka terdapat skrin OLED lebar yang boleh digunakan selain untuk infotainmen, juga untuk melaras fungsi kenderaan, serta panel paparan untuk pemandu. Keadaan di dalam kabin dijadikan lebih menarik dengan lampu suasana dan pada konsol tengah terdapat pembesar suara yang boleh dicabut.
Dalam siaran akhbar, smart menyatakan tempat duduk hadapan Concept #5 ini menampilkan sistem beg udara baru dan turut dilengkapi liang udara, ciri pemanas, fungsi mengurut serta perehat kaki.
smart turut menerapkan teknologi AI kenderaan terkini pada bahagian dalam SUV ini. Antara yang utama adalah fungsi daripada pakar AI, Cerence, yang dikatakan boleh memberikan interaksi lebih menghiburkan antara penumpang dengan sistem dalam kereta.
Pelbagai fungsi boleh dikawal menggunakan suara, termasuk panggilan dan mesej, muzik dan media, pendingin hawa, navigasi, kawalan kenderaan, tetapan individu serta informasi lain seperti cuaca, berita, kalendar, pengetahuan umum dan pelbagai lagi.
Selepas dipertontonkan kepada awam 25 April ini, smart akan mula memperkenalkan pula versi produksi bagi Concept #5 pada separuh kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.