KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata beliau mengarahkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menarik balik surat tuntutan terhadap The Edge, yang membuat laporan berkaitan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap agensi itu.
Sim berkata, beliau mengarahkan HRD Corp berbuat demikian semalam dan menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Saya ingatkan dan menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan saman media. Saya percaya dengan tegas kebebasan media di negara ini. Ini prinsip saya sebelum menjadi kerajaan.
“Bila dapat maklumat perkara itu saya arahkan HRD Corp tarik balik, saman itu ditarik balik semalam sebelum PAC buat sidang media. Terima kasih atas ketegasan PAC,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
HRD Corp sebelum ini mengancam akan mengemukakan saman terhadap syarikat penerbitan akhbar itu, Edge Communications Sdn Bhd dan salah seorang penulisnya.
Dalam tuntutannya, HRD Corp meminta artikel tersebut diturunkan dan syarikat penerbitan itu membuat permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar dan laman web The Edge dalam tempoh 48 jam dari tarikh surat.
LKAN 2024 sebelum ini mengesyorkan Kesuma merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.
Turut dilaporkan terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
PAC turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburan kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip ‘secara agresif’ digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil beberapa dokumen di pejabat agensi berkenaan untuk siasatan.
Source link