Jakim melalui bahagian hab halal kerap menganjurkan klinik kepada pengusaha untuk membimbing permohonan sijil halal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Insentif latihan dan geran mendapat sijil halal oleh kerajaan harus dimanfaatkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam sektor itu yang kini bernilai lebih RM10 trilion, kata kumpulan peniaga.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, berkata sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menjamin status kesucian sesuatu hidangan dan produk diiktiraf banyak negara luar.
Katanya, statistik menunjukkan 30% usahawan kecil memperoleh sijil halal berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Timur Tengah dan Asia sekali gus meningkatkan jualan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Jadi manfaatkan latihan dan geran ini untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa dan menjadi lebih kompetitif dalam industri halal global,” katanya kepada FMT.
Pada 18 Sept lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan menyediakan insentif latihan dan geran untuk menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat sijil halal daripada Jakim.
Langkah itu bertujuan memastikan produk atau perkhidmatan ditawarkan boleh dipersijilkan halal.
Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif yang membolehkan pengurusan pensijilan halal di negara ini diproses dalam tempoh 30 hari.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, pula berkata pensijilan halal penting untuk meningkatkan kedudukan syarikat terutama dalam industri pembuatan, pengedaran makanan dan minuman, barangan gaya hidup dan keperluan harian.
“Proses pensijilan kini lebih ringkas dan cepat kerana prosesnya sudah didigitalkan, kos permohonan termasuk perunding serta penasihat juga agak kompetitif,” katanya.
Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara, Norhimah Aziz, berkata pengusaha perlu mengubah persepsi yang pemilikan sijil halal tidak penting jika ingin meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
“Kita sedia maklum permintaan produk halal di peringkat antarabangsa sangat tinggi. Jadi pengusaha tempatan harus mempersiapkan diri dengan sijil halal apatah lagi banyak bantuan disediakan kerajaan,” katanya.
Source link
Next Post