PETALING JAYA: Pemuda DAP (Dapsy) Jelutong menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan seorang pengguna Tiktok ‘Cikgu Chandra’ kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah, hasutan dan perkauman.
Dapsy membuat laporan polis susulan kenyataan yang dikeluarkan berhubung kejadian pengibaran bendera China dalam perarakan pada Festival Kebudayaan Guan Gong di Menara Condong, Teluk Intan, bulan lepas.
Dapsy Jelutong dalam kenyataan mendakwa Razman membuat tuduhan tidak berasas bahawa terdapat menteri dan exco terlibat kejadian itu, walaupun sebenarnya mereka tidak menghadiri acara tersebut.
“Dalam ucapan yang dirakam dalam video, Razman turut membuat kenyataan yang mengajak ‘semua yang matanya macam ini, kulitnya macam ini, darahnya macam kita semua’ untuk bersatu.
“Kenyataan ini dilihat sebagai hasutan dan akan menyemarakkan sentimen perkauman yang sempit serta bertentangan dengan prinsip kesatuan rakyat Malaysia,” kata Dapsy Jelutong.
Terdahulu, media melaporkan Razman menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian bendera China dikibarkan ketika perarakan pada 13 Sept lepas, mendakwa ia turut dihadiri Naib Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming dan Adun Pasir Bedamar Woo Kah Leong.
Selain itu, Dapsy turut mengecam video yang dimuat naik oleh ‘Cikgu Chandra’ yang menyeru agar masyarakat Melayu dan India bersatu memboikot kaum Cina.
“Kenyataan seperti ini bersifat amat berbahaya kerana berpotensi menyemai kebencian antara kaum serta mencabar keharmonian dan keamanan yang telah lama dibina dalam masyarakat kita yang majmuk,” katanya.