Sebahagian kursus yang ditawarkan kepada pelajar India ini berbeza sama sekali dengan apa yang ingin mereka ceburi, kata Senator C Sivaraj. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Seorang senator menggesa kerajaan menyiasat dakwaan bahawa ramai pelajar India menolak tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), terutamanya kerana mereka tidak ditawarkan kursus yang dimohon.
Senator C Sivaraj berkata, beliau dimaklumkan bahawa beberapa kursus yang ditawarkan kepada pelajar ini jauh berbeza dengan bidang yang mereka ingin ceburi, malah ramai daripada mereka melebihi kelayakan untuk kursus yang ditawarkan.
“Mesti ada sebab kepada masalah ini, dan kita perlu mengenal pasti punca utamanya,” katanya kepada FMT.
Bekas naib presiden MIC itu berkata jawapan Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Negara baru-baru ini berkait isu itu terlalu umum dan tidak memberikan butiran mengenai kursus atau universiti yang terlibat.
C Sivaraj.
“Kementerian menyatakan bahawa 8,529 pelajar India dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan tempat di IPTA untuk tahun akademik 2024-2025. Bagi pemegang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), jumlahnya ialah 4,342,” katanya.
Bagaimanapun, Sivaraj berkata beliau dimaklumkan ramai pelajar India hanya ditawarkan kursus diploma dan sijil di politeknik dan kolej komuniti, dengan peratusan rendah yang menerima tawaran tersebut.
Beliau menggesa kementerian mendedahkan universiti yang menawarkan tempat kepada pelajar India, serta kursus yang ditawarkan, kerana mereka tidak boleh dipersalahkan sekiranya kursus tersebut tidak bersesuaian dengan kelayakan dan minat mereka.
“Sebelum buat persediaan untuk anak-anak kita bagi tahun akademik yang akan datang, kita perlu terlebih dahulu menganalisis kelemahan dan kegagalan kita. Walaupun saya menghargai kesediaan kementerian memberikan data, kita memerlukan data yang lebih spesifik atau data mikro.
“Untuk merangka strategi yang berkesan bagi tahun mendatang, kita perlukan data tepat untuk menentukan cara meningkatkan bilangan pelajar India yang mendaftar di IPTA,” katanya.
Bulan lalu, Parti Rakyat India Malaysia mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kuota kemasukan universiti awam sebanyak 7% untuk pelajar India, berdasarkan sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.
Sasaran utama pelan yang dilancarkan pada 2017 itu adalah memastikan sekurang-kurangnya 7% kaum India dalam semua kolej, universiti, politeknik dan institusi pendidikan tinggi atau lanjutan lain milik kerajaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir, bagaimanapun, berkata kemasukan ke universiti awam adalah berdasarkan merit, terutamanya kursus mendapat permintaan tinggi, dan ini tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman.
Source link