PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan kelonggaran buat penjawat awam wanita pulang awal pada Ramadan ini, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang cadangan itu dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.
“Kita akan bincang dengan MMKN jika ada keperluan, tetapi setakat ini masa yang ditetapkan itu mencukupi untuk mereka pulang bekerja dan sebagainya,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Festira 2025 di Shah Alam.
“Ikut kepada keperluan dan masa yang telah ditetapkan, kita juga ada pertimbangkan waktu fleksibel. Kalau mereka pulang awal, perlu juga datang awal supaya masa kerja tak terganggu serta ada peluang tunaikan tanggungjawab sediakan juadah dan sebagainya.”
Pada 19 Feb lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, hampir 2,500 penjawat awam wanita bawah pentadbiran kerajaan negeri dibenarkan pulang seawal 2 petang setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini.
Dalam perkembangan lain, Amirudin memberi amaran peniaga yang mengaut keuntungan dengan “ali baba” tapak bazar Ramadan akan dikenakan tindakan tegas dan disenarai hitamkan.
“Setakat ini, kita belum terima laporan seperti tahun lepas, tetapi kita sudah minta pihak berkuasa tempatan memantau dan ambil tindakan.”