KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menaikkan caj perkhidmatan bermula 1 Jan lalu.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata pihak pengurusan PPUM juga tidak berbincang dengan beliau untuk menaikkan caj perkhidmatan antara 60% hingga 70% itu.
Katanya, pada 2019 dan 2021 pihak pengurusan tertinggi PPUM bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat menaikkan kadar caj perkhidmatan bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
“Kali ini mereka tak bertemu dengan saya, tetapi mengumumkan dahulu (kenaikan).
“Saya dah panggil mereka Sabtu lalu dan nyatakan sebagai Ahli Parlimen saya tak setuju mereka naikkan kos,” katanya dalam sidang media selepas Program Future Health for All di IWK Eco Park Pantai Dalam.
Media sebelum ini melaporkan PPUM mengumumkan kadar baharu perkhidmatan bermula 1 Jan lalu dengan alasan kenaikan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Menurut laporan itu, caj wad naik sebanyak 60%, daripada RM120 kepada RM300 manakala rawatan susulan di klinik pakar dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70%.
Sementara itu, Fahmi berkata bagi membantu pesakit yang terkesan akibat kenaikan itu pihaknya akan melancarkan kutipan dana sebanyak RM5 juta menerusi ‘tabung PPUM care’.
“Warga Lembah Pantai dan Petaling Jaya ramai dapatkan perkhidmatan di PPUM, jadi kita akan bantu,” katanya.