Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed mengesahkan bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil hadir ke IPD Putrajaya pada petang tadi untuk dirakam kenyataannya.
PETALING JAYA: Polis merakam keterangan bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil berkaitan hantaran di media sosialnya yang mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaman Bloomberg.
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed mengesahkan, Isham hadir ke IPD Putrajaya pada 3 petang tadi untuk dirakam kenyataannya.
“Keterangannya direkodkan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menurut Sinar Harian.
Bloomberg dalam satu laporan memetik sumber mendakwa Anwar mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan rakan rapatnya Daim Zainuddin.
Anwar juga didakwa mengarahkan SPRM tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan SPRM.
Dalam kenyataan di Facebook, Isham menyarankan Anwar menyaman Bloomberg kerana laporan portal berita antarabangsa membawa implikasi besar.
Antaranya menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang kesungguhannya memerangi rasuah.
Source link