Sabah akan berdepan cabaran tangani peningkatan Covid-19

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata negeri yang kurang kes Covid-19 harus menggerakkan sumber mereka ke Sabah.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir memberi amaran Sabah akan berdepan cabaran untuk menangani peningkatan Covid-19 dan menggesa negeri yang kurang kes menggerakkan sumber mereka ke negeri di bawah bayu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, beliau bimbang situasi di Sabah terutama peningkatan bilangan kes dan kes yang tidak berkait dengan kluster.

“Sudah jelas penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk Sabah, mungkin buat seketika ini dan ia tiada kaitan dengan golongan pendatang,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu Azrul berkata, kes yang tidak berkaitan menyumbang kira-kira 17% daripada kes baharu di Sabah dan 2 hari lalu ia menyumbang 91% daripada kes baharu.

“Penambahan ujian dilakukan Kementerian Kesihatan akan menyebabkan lebih banyak kes Covid-19 dikesan,” katanya.

Sabah paling terkesan dengan jangkitan baharu, dengan 271 kes direkodkan semalam dan sejumlah 3,291 kes setakat ini. Sehingga semalam, 8 daerah adalah zon merah yang mempunyai lebih 40 kes aktif. Beberapa daerah juga diletak bawah perintah kawalan.

Dengan sumber yang terhad dan faktor geografi, Azrul berkata Sabah akan berdepan cabaran untuk mengekang wabak itu.

“Ia akan memerlukan semua bantuan yang diperlukan untuk merawat mereka yang positif, juga menggalakkan orang ramai tampil untuk disaring,” katanya.

Azrul berkata, stigma, diskriminasi dan “ketakutan” mengenai kuarantin menjadikannya lebih sukar untuk mengesan dan merawat serta membendung penularan wabak itu.

“Dalam banyak isi rumah sekitar Sabah, sehari digunakan untuk ujian bermakna kehilangan pendapatan sehari yang digunakan membayar bil, menyediakan makanan dan memastikan isi rumah tidak menghadapi masalah kewangan.

“Bayangkan apa akan berlaku sekiranya orang diuji positif Covid-19 dan diletakkan dalam kuarantin mandatori untuk rawatan. Ini akan melemahkan ekonomi tempatan dan menyebabkan keluarga terheret ke kancah kemiskinan.

Beliau berkata, ada keperluan mendesak bukan hanya untuk mengekang penularan wabak tetapi mendepani kesan akibat tindakan diambil untuk memeranginya.

“Kita perlukan penglibatan semua pihak di Sabah, supaya sumber dari negeri lain dapat digerakkan. Sabah tidak boleh bergantung kepada bantuan persekutuan semata-mata. Sarawak dan Selangor harus bangkit dan membantu,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment