KUALA LUMPUR: Polis telah meluaskan skop siasatan mereka terhadap rumah amal yang diserbu, termasuk pembiaya dan penderma mereka, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata siasatan menunjukkan bahawa rumah amal yang didakwa dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) itu turut menerima tajaan daripada organisasi selain GISBH.
“GISBH juga mengendalikan rumah orang tua yang mendapat dana daripada pihak lain,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Razarudin menggesa mereka yang pernah terlibat dengan syarikat itu dan mangsa sebelum ini untuk tampil bagi memudahkan siasatan polis.
Pada Rabu, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal, penderaan seksual dan diabaikan.
Razarudin hari ini berkata 13 daripada mangsa disyaki diliwat.
Beliau berkata kebanyakan mereka mengalami luka baru dan lama dan kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Pulapol.