PETALING JAYA: Polis Kota Kinabalu menerima 35 laporan penipuan tawaran tender menyasarkan kontraktor membabitkan kerugian lebih RM1.69 juta sejak Januari lalu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda, berkata kes terbaru membabitkan seorang kontraktor tertarik tawaran tender membekal mesin “ecoflow power station” untuk sebuah jabatan kerajaan.
Menurutnya, kontraktor itu kerugian RM64,200 selepas mempercayai suspek menyamar pegawai kerajaan untuk memasukkan duit ke satu akaun bagi pembelian mesin terbabit.
“Mangsa pada mulanya menerima mesej WhatsApp daripada suspek menyamar pegawai jabatan kerajaan dan menawarkan tender membekalkan wayar kabel, seterusnya membekalkan mesin itu kepada jabatan berkenaan.
“Mangsa kemudian bersetuju dengan tender ditawarkan dan bagi meyakinkan mangsa, suspek turut menghantar dokumen pesanan kerajaan serta surat setuju terima,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek turut memberikan nombor telefon pembekal yang pernah membekalkan mesin berkenaan kepada jabatan itu bagi memudahkan urusan mangsa.
“Atas dasar percaya, mangsa menempah enam mesin itu lalu membuat bayaran RM64,200 ke akaun suspek, sebaik menghubungi nombor diberikan.
“Mangsa juga menerima invois melalui WhatsApp dan dijanjikan mesin terbabit akan dihantar terus ke jabatan berkenaan.”
Tetapi, katanya, mangsa mula curiga apabila menerima tempahan tambahan daripada individu sama.
“Mangsa kemudian menghubungi penama semula, namun gagal dihubungi dan nombor mangsa disekat. Kejadian itu menyebabkan mangsa rasa tertipu dan membuat laporan untuk tindakan lanjut.”
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Kinabalu menerima 35 laporan berkaitan modus operandi sama sejak Januari hingga bulan lalu membabitkan kerugian RM1,692,915.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang awam dinasihatkan jangan mudah terpedaya tawaran tender melalui media sosial.”
Source link