MELAKA: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan mencekik adiknya hingga mati dua minggu lalu.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian adik lelakinya yang berumur sembilan tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari pada 5 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman itu dijalankan secara tertutup kerana remaja itu di bawah umur.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai di Tampoi, Johor untuk pemeriksaan psikiatri dan menetapkan 22 Ogos bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala remaja lelaki itu tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu meninggal dunia dipercayai akibat dicekik.