Rasuah projek lebuh raya: 2 bakal didakwa

Siasatan SPRM memfokuskan elemen rasuah dalam projek penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang, dan projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal mendakwa dua individu, termasuk ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya, berhubung kes rasuah melibatkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Bakri berkata, COO itu dijangka menghadapi dua tuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. Seorang lagi individu yang juga pengurus projek sebuah syarikat swasta, dijangka menghadapi tiga tuduhan di bawah seksyen sama.

Siasatan memfokuskan elemen rasuah dalam projek penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang bernilai RM1.05 bilion, dan projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM telah membekukan aset bernilai RM22 juta dalam siasatannya terhadap sindiket rasuah melibatkan melibatkan sebuah syarikat perunding di beberapa institusi kewangan.

“RM22 juta ini melibatkan 98 akaun bank meliputi enam bank,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Khusairi Yahaya berkata, 21 orang ditahan bagi membantu siasatan kes itu setakat ini, termasuk lapan pengarah syarikat; 12 pegawai bank; dan seorang awam.

Sumber SPRM sebelum ini berkata, agensi itu menerima aduan mengenai rasuah melibatkan pegawai institusi perbankan yang dikatakan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi untuk sebuah syarikat rundingan kewangan.

Menurut sumber itu, pegawai berkenaan dipercayai menerima rasuah daripada firma berkenaan, yang menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu mengenai pelanggan yang memohon pinjaman peribadi.

SPRM dipercayai menyerbu 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di Lembah Klang sejak minggu lalu dalam operasi digelar Op Sky.

Source link

Azam Bakilebuh rayapinjaman peribadirasuahsiasatansprm
Comments (0)
Add Comment