PETALING JAYA: Kerajaan Brunei tidak ada menawar atau melantik sebarang syarikat tempatan atau antarabangsa melaksanakan projek Kereta Api Trans Borneo.
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan, berkata tiada perbincangan mengenai projek itu di peringkat kerajaan, termasuk antara negara dan pihak berkepentingan, lapor Xinhua.
“Untuk projek berskala sebesar itu, ia sememangnya memerlukan komitmen daripada setiap kerajaan terlebih dahulu,” kata kementerian itu menurut Bernama.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada isu mengenai projek itu.
Pada 1 April, Putrajaya memaklumkan kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai cadangan sebuah syarikat membina rangkaian kereta api laju menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei, dan Kalimantan di Indonesia.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata projek seperti itu mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan, malah tender untuk kajian kebolehlaksanaan projek itu hanya dibuka pada Mei ini.
Baru-baru ini, Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei dilaporkan akan membina rangkaian kereta api laju di Borneo yang bertujuan memendekkan tempoh perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan, dan Sabah.
Kata syarikat itu, projek bernilai USD70 bilion (RM330 bilion) itu merangkumi dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,600km menggunakan kereta api dengan kelajuan maksimum 350km/j.