PETALING JAYA: Kerjasama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah pakatan terbaik kerana dapat memenuhi harapan serta aspirasi semua pihak bagi menghadapi PRN Sabah.
Timbalan Ketua Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan, berkata gabungan kerjasama itu juga dilihat mempunyai kelebihan kerana setiap parti ada kekuatan dan kepakaran tersendiri.
“Saya percaya inilah gabungan atau kerjasama politik paling strategik untuk memenangi pilihan raya Sabah yang bakal diadakan.
“Setelah PRN Sabah berakhir, BN perlu terus berada dalam kerajaan negeri bersama GRS dan PH untuk memastikan BN dapat menyumbang khidmat kepada masa depan rakyat Sabah dan kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah memuktamadkan kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.
Katanya, persetujuan antara BN dan PH itu menjadi asas kepada kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.
Sementara itu, Rahman yang juga ketua Umno Tuaran berkata selepas PRN Sabah berakhir, ketiga-tiga gabungan perlu berada dalam kerajaan bagi memastikan BN dapat menyumbang khidmat kepada rakyat Sabah.
“Sabah tidak dapat lari daripada hakikat ia masih perlu berurusan dengan kerajaan pusat. Semua hak-hak Sabah yang mahu diperjuangkan masih memerlukan rakan dialog iaitu kerajaan pusat.
“Kita tidak mahu ada kekalutan politik yang akan membantut kemajuan perbincangan antara negeri dan pusat berkaitan hak-hak Sabah yang sedang berjalan dengan amat baik sekarang,” katanya.
Beliau juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno turut mengingatkan semua pihak tidak membiarkan politik kebencian menghalang kemajuan perbincangan yang masih berterusan.
“Masih banyak perlu diselesaikan dan percayalah hanya pendekatan politik yang inklusif dan terangkum akan menjadikan ia satu realiti. Pada masa sama, percayalah, perbalahan dan permusuhan politik yang tiada kesudahan akan hanya menyusahkan usaha kita,” katanya.