PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat bertekad untuk memperjuangkan isu peluang pekerjaan dan infrastruktur termasuk perumahan untuk rakyat sekiranya diberi mandat nanti.
Katanya, kedudukan Pulai yang terletak di tengah bandar raya Johor Bahru sudah semestinya mempunyai banyak isu rakyat yang perlu diberi tumpuan.
“Parlimen Pulai ada empat PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang besar di Kempas, Melana, Uda Utama serta Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi di situ.
“Banyak isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur perlu diberikan perhatian, terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta perparitan yang menjadi rungutan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.
Naib pengerusi Amanah itu berkata, isu pendidikan, sosial dan pembangunan modal insan turut akan diberi perhatian bagi memastikan rakyat Pulai mendapat manfaat daripada limpahan kemakmuran negara.
“Namun, semua janji dan fokus digariskan ini hanya dapat saya perjuangkan apabila Pakatan Harapan mendapat kemenangan di Parlimen Pulai,” katanya.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional, Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon bebas.
PRK Parlimen Pulai diadakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub dari Amanah pada 23 Julai lalu.