PETALING JAYA: Keputusan parti mewakili kerajaan perpaduan pada PRK Nenggiri belum diputuskan, kata Ketua Pakatan Harapan (PH) Gua Musang Asharun Ruji.
Mengulas pengumuman Presiden Umno Zahid Hamidi yang parti itu akan bertanding kerusi terbabit, Asharun berkata belum ada perbincangan antara parti komponen kerajaan perpaduan mengenainya.
“Keputusan rasmi daripada pimpinan parti gabungan belum lagi dinyatakan, termasuk calon daripada mana-mana parti,” katanya kepada FMT sambil mendedahkan ada permintaan akar umbi meminta wakil PH bertanding pada pilihan raya kecil dijadualkan 17 Ogos itu.
“Saya selaku ketua PH Gua Musang menyuarakan pandangan akar umbi yang mahukan calon daripada PH, namun kita akur sebarang keputusan pimpinan dan sokong sesiapa sahaja termasuk Umno.”
Semalam, Zahid mengumumkan parti itu akan meletakkan calon pada PRK Nenggiri susulan kekosongan luar jangka kerusi itu selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim terhenti keahliannya dalam Bersatu.
Ahli Parlimen Gua Musang penggal pertama itu antara wakil rakyat Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan enggan mengikuti arahan parti supaya mengikuti arahan.
DUN Nenggiri yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang pernah menjadi kubu kuat Umno namun terlepas pada PRN Ogos tahun lalu apabila Aziz menewaskan Ab Aziz Yusoff dari BN dengan majoriti 810 undi.
PH tidak meletakkan calon ketika itu kerana bekerjasama dengan BN di bawah pasukan perpaduan.
Antara calon disenarai pendek Umno Gua Musang termasuk ketua pemudanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Amran Arifin (ketua penerangan) dan Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli (ketua wanita).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Nenggiri 3 Ogos sebagai penamaan calon dan undi awal pada 10 Ogos.
Source link