KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujudnya elemen rasuah dalam pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) badan induk itu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan esok.
Megat D Shahriman Zaharudin berkata, laporan tersebut bagi membolehkan SPRM menyiasat dua individu berpengaruh dalam bidang sukan negara yang didakwa menimbulkan amalan tidak sihat selain melanggar tataetika pemilihan AJK badan itu.
“Saya membuat aduan kepada SPRM untuk membuka kertas siasatan terhadap dua individu tersebut bagi melindungi kepentingan, kedaulatan dan kesucian MPM daripada unsur-unsur rasuah, perkara-perkara negatif atau tidak sihat yang boleh memberi risiko kepada badan induk sukan para negara.
“Ini juga untuk memastikan ahli gabungan tidak bergelumang atau tidak terbabit dengan jenayah rasuah kerana setiap persatuan sukan kebangsaan adalah entiti awam,” katanya yang berharap SPRM dapat menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.
Sementara itu, salah seorang individu terbabit menafikan dirinya terlibat dalam kegiatan rasuah seperti didakwa dan bersedia disiasat oleh SPRM.
“Saya terbuka sekiranya SPRM membuka kertas siasatan tetapi sekiranya siasatan tidak mempunyai sabitan apa-apa terhadap saya, saya akan lakukan tindakan yang sama mendakwa beliau memburuk-burukkan saya secara terbuka seperti ini.
“Saya yakin SPRM lebih mengetahui dakwaan-dakwaan seperti ini,” katanya yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam Majlis Sukan Negara.
Source link