Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mensasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan mengurangkan Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi lima laluan rel kendaliannya dalam masa setahun. Ia melibatkan laluan Kelana Jaya, laluan Kajang, laluan Putrajaya, laluan Ampang dan Monorel.
Memberi maklumbalas mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pihaknya berharap menjelang tahun hadapan, hanya ada sekali sahaja gangguan melibatkan satu juta kilometer laluan, laporan Harian Metro.
“Apabila tren itu bergerak sehingga satu juta kilometer baru ada sekali gangguan. Sekarang ini mungkin ada laluan yang 200,000 atau ada yang 400,000 kilometer secara puratanya berlaku sekali gangguan. Kalau satu juta kilometer baru sekali gangguan, maksudnya kekerapan gangguan itu amat kurang. Mungkin setahun sekali atau dua kali gangguan.


“Itu memang perkara biasa dalam mana-mana rel di seluruh dunia. Ini sasaran kita nak mengurangkan gangguan,” katanya pada sidang medianya semasa Sesi Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 dan Pelan 2025 di Menara Prasarana hari ini.
Tambah Loke, dari segi jumlah gangguan MKBF, tahun 2022 adalah yang tertinggi dicatatkan dengan 255 kali gangguan di kelima-lima laluan itu. Manakala pada tahun 2023 pula, jumlah gangguan adalah sebanyak 118 kali dan ia semakin berkurangan pada tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 71 kali.
“Apa yang kita maksudkan gangguan ialah tren tidak bergerak lebih daripada lima minit. Kalau tren itu tidak dapat bergerak lebih lima minit, itu dianggap satu gangguan. Gangguan yang lebih serius ialah tren yang tidak bergerak lebih 15 minit. Jadi kita nak mengurangkan gangguan ini. Sudah tentunya kita belum lagi berpuas hati, kita nak teruskan prestasi ini dapat ditambah baik,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.