Polis tahan 3 rakan jual ganja di Telegram

Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kumpulan itu menggunakan Telegram untuk mengumpul pelanggan sebelum menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kurier. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga rakan karib kerana dipercayai mendalangi satu sindiket pembungkusan dan pengedaran ganja dengan mengumpul pelanggan melalui aplikasi Telegram.
Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata tiga lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 24 tahun itu ditahan pada Isnin lalu dalam dua serbuan di kawasan Publika dan sekitar kawasan Wisma Cosway, Jalan Raja Chulan.
Beliau berkata sindiket yang beroperasi sejak empat bulan lepas itu menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang tanpa perlu bersemuka selepas mengumpul pesanan pelanggan melalui Telegram.
Hasil soal siasat ke atas semua suspek membawa pihak polis ke sebuah premis di Wisma Cosway dan merampas dadah jenis ganja berbentuk 380 ketulan mampat seberat 23.322kg.
“Sebuah kotak polisterin warna putih berisi satu plastik lutsinar berisi leraian dedaun kering seberat 0.414kg dan tiga plastik lutsinar berisi bunga ganja dengan keseluruhan nilai seberat 0.65kg turut dirampas,” katanya pada sidang media di IPD Sentul.
Sukarno berkata polis turut menyita sebuah Mercedes Benz dan Nissan Almera dipercayai milik suspek yang diletakkan di tempat letak kereta Wisma Cosway.
Keseluruhan nilai rampasan ialah RM85,980.
“Polis turut menyerbu sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya yang dipercayai didiami semua suspek, namun hasil pemeriksaan tidak menjumpai sebarang barang terlarang.
“Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun seorang daripadanya positif dadah jenis THC,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sukarno berkata semua suspek direman lima hari sehingga hari ini dan polis mengemukakan permohonan untuk menyambung reman.

Source link

Dadahpolisrakansindikettelegram
Comments (0)
Add Comment