PM Anwar Ibrahim dijadualkan turun ke negeri-negeri mulai minggu depan untuk Majlis Buka Puasa Madani. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri mulai minggu depan untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani.
Pada masa sama, perdana menteri juga akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama negeri serta agensi, menurut setiausaha akhbar kanannya, Tunku Nashrul Abaidah.
“Perdana menteri telah menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi beliau dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi,” katanya.
“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau telah menggerakkan semua setiausaha politik ke negeri-negeri, bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini, lapor Bernama.
Tunku Nashrul berkata, usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, serta menambah baik taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.
Katanya, perdana menteri juga memaklumkan, sehingga 31 Dis tahun lepas, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar dan beliau yakin kejayaan itu akan diperluas ke negeri-negeri lain.
Source link