PUTRAJAYA: Anwar Ibrahim menegaskan PKR tidak akan pinggir kepentingan kaum lain walaupun tonggak utamanya terdiri daripada pemimpin Melayu.
Presiden PKR ambil maklum keresahan berkait permasalahan kaum bukan Melayu, dan menegaskan pimpinan parti akan berlaku adil.
“Ada keresahan permasalahan kaum lain tidak dijaga… tonggak masih Melayu-Islam tapi jamin keadilan untuk semua kaum dan agama.
“Kita tidak tolak ansur sama sekali,” katanya, dalam ucapan dasarnya pada kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.
Dalam masa sama, Anwar mengingatkan bahawa semua kaum harus merasakan mereka sebahagian daripada negara yang hebat.
“Negara ini ‘tak selamat’ kalau tak fikir pandangan kaum lain yang mesti disantuni,” katanya.
Sebelum ini, seorang wakil rakyat PKR mendakwa terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli bukan Melayu, lantaran parti tidak mencalonkan ahli berketurunan Cina atau India bagi jawatan exco kerajaan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
Beliau yang minta tidak dinamakan berharap PKR akan membincangkan peranan ahli bukan Melayu pada kongres kali ini.
Mengulas isu lain, Anwar dalam ucapannya percaya pendekatan yang ‘sederhana’ dan ‘pertengahan’ terbaik ke arah perubahan, di sebalik kritikan daripada pelbagai pihak berlainan fahaman.
“Walaupun digasak kiri dan kanan – satu pihak kata kita ‘perlahan’, satu pihak kata kita ‘tak cukup Islam dan Melayu’, saya kata perlu ambil jalan sederhana dan pertengahan… memikir kepentingan semua,” katanya.
Beliau meminta ahli parti supaya mengambil iktibar daripada pengalaman pentadbiran lalu.
“Kita dan kerajaan perpaduan harus belajar daripada pengalaman…terlalu gopoh desak perubahan dalam semua bidang juga tidak wajar,” katanya.