Pindaan undang-undang keterangan budak jejas perbicaraan adil, kata peguam

Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dipinda tahun lalu untuk melarang soalan ‘tidak wajar’ disoal kepada saksi bawah usia 18 tahun. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pindaan undang-undang melibatkan soal balas terhadap saksi kanak-kanak dikatakan “merugikan” tertuduh dalam kes jenayah, menurut seorang peguam.

Salim Bashir berkata, soal balas adalah ciri perbicaraan kes jenayah, dan menjadi alat mendedahkan kelemahan dalam keterangan diberikan.

“Peguam mesti memastikan kes anak guam mereka dibentangkan sepenuhnya tanpa rasa takut, dan dengan penuh semangat,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pindaan yang diluluskan Parlimen tahun lalu terhadap Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 yang memberi mahkamah perbicaraan hak melarang soalan “tidak wajar” terhadap saksi bawah usia 18 tahun.

Salim tidak menafikan bahawa memberi keterangan di mahkamah amat mencabar untuk kanak-kanak.

“Bagaimanapun, wujud keperluan mengimbangi sistem keadilan jenayah. Fokus tidak patut hanya diberikan terhadap keselesaan mangsa kanak-kanak, tetapi juga hak tertuduh mendapat perbicaraan adil,” katanya.

Peguam K A Ramu berkata, hakim pada masa lalu mengingatkan peguam tidak keterlaluan ketika menyoal balas kanak-kanak yang menjadi saksi, atau mangsa jenayah.

“Saya tidak faham rasional untuk satu undang-undang bertulis bagi meletakkan prasyarat sedangkan hakim pada masa lalu memberi panduan kepada pihak-pihak supaya menyoal saksi dalam keadaan yang memastikan mereka selesa,” katanya.

Ramu berkata, isu ini boleh menjadi alasan untuk mengemukakan rayuan apabila seseorang disabitkan kesalahan, boleh mendakwa dinafikan hak mendapat perbicaraan adil.

Bagaimanapun, peguam A Srimurugan berkata, kanak-kanak adalah saksi lemah, terutama jika pernah menjadi mangsa jenayah ganas.

“Mereka pasti mengalami trauma dan undang-undang ini digubal untuk melindungi mereka. Ia bukannya bertujuan memberikan kelebihan yang memihak pendakwaan,” katanya.

Srimurugan berkata, mahkamah akan melihat terhadap keseluruhan fakta kes sebelum memutuskan sama ada membebas atau mensabitkan seseorang tertuduh.

Stay current – Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Katanya, kajian turut menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak mungkin mewujudkan cerita berpihak.

Source link

akta-keteranganmahkamahpembelaansaksi-kanak-kanaksoal-balastempatantop-bm
Comments (0)
Add Comment