Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) melancarkan bahan api terbaharunya Petronas Primax 97 dengan Pro-Race bagi memenuhi permintaan enjin berteknologi tinggi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, ia adalah petrol terbaik dihasilkan dengan formulasi yang menawarkan pemanduan lebih berkuasa, reponsif dan efisien melalui teknologi Advanced Dual Friction Modifier yang pertama di dunia.
“Bahan api termaju ini adalah 25 peratus lebih efisien dalam membantu mengurangkan geseran dan pelepasan karbon serta 99.9 peratus menghapuskan deposit pada bahagian utama enjin berbanding sebelumnya.
“Ia juga yang diadaptasi daripada teknologi bendalir litar perlumbaan ke jalan raya untuk kami teruja kongsikan kepada pengguna bagi pengalaman pemanduan bersahaja dengan manfaat 3 dalam 1 iaitu kuasa, responsif dan kecekapan,” katanya dalam kenyataan.
Selari dengan pengalaman Petronas membangunkan teknologi bendalir untuk menjana kuasa pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas yang meraih gelaran juara kategori Pengeluar F1 FIA sebanyak tujuh kali berturut-turut dan pada 2020 bahan api terbaharu ini dicipta.
Perkara itu diakui juara dunia F1, Lewis Hamilton yang mana Petronas Primax 97 dengan Pro-Race diakui menawarkan jentera kuasa luar jangkaan ketika memecut dan membelok di selekoh untuk mendahului yang lain ketika dalam perlumbaan.
Selain itu prestasi bahan api ini turut dibuktikan oleh pengguna melalui siri ujian yang dijalankan dalam keadaan pemanduan jalan raya sebenar yang mencatatkan prestasi lebih baik berbanding petrol premium lain dalam pasaran.
Melalui kajian itu sebanyak 69 peratus bersetuju bahawa petrol ini memberikan lebih kuasa, 66 peratus berpendapat lebih responsif dan 73 peratus mengesahkan yang ia merekodkan lebih kilometer untuk setiap liter serta pelepasan karbon rendah.
“Semua maklumbalas pengguna amat menggalakan dan sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif kami sentiasa mencari peluang menambah baik untuk meningkatkan penawaran produk terbaik kepada pelanggan dan yakin Petronas Primax 97 dengan Pro-Race akan melangkaui jangkaan mereka,” katanya.