SEREMBAN: Seorang pesakit yang menerima rawatan ringan di sebuah hospital swasta terkejut selepas dikenakan caj menunggu di bilik kemalangan dan kecemasan (A&E) dan juga pengangkutan untuk alat pemantau tanpa dinyatakan sebab.
Bil yang dilihat FMT, menunjukkan pesakit itu dicaj RM11.60 untuk tempoh 30 minit menunggu di bilik (A&E) dan RM34 untuk “pengangkutan alat pemantau pesakit”.
“Saya hanya mahu mendapatkan suntikan,” kata pesakit itu yang enggan dikenali kepada FMT.
“Saya ingat caj itu untuk pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan lain yang mereka lakukan ketika di dalam bilik, tetapi pihak hospital mengenakan caj RM10.60 untuk pemantauan tanda-tanda penting.
“Jika saya tahu hospital mengenakan caj untuk menunggu di dalam bilik A&E, saya akan tunggu di luar hingga nama dipanggil. Tetapi mereka yang meminta saya tunggu. Saya tidak memilih untuk tunggu di dalam bilik,” katanya.
Katanya, beliau akan membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan, dan berharap dapat penjelasan daripada pihak hospital.
Semakan FMT di beberapa hospital swasta mendapati tiada caj untuk pesakit yang menunggu atau pengangkutan untuk peralatan perubatan.
FMT cuba menghubungi pihak hospital tersebut untuk mendapatkan komen.