Permohonan semakan kehakiman pesara berkait pencen didengar 2 Okt

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur arah responden memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 10 Julai dan plaintif Aminah Ahmad fail afidavit balas sebelum atau pada 31 Julai.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Okt depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan seorang pesara terhadap kerajaan supaya menyegerakan pelarasan pencen mengikut formula sebelum pindaan Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Peguam Baljit Singh Sidhu mewakili Aminah Ahmad yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar berkata mahkamah menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini.

“Mahkamah turut mengarahkan responden (kerajaan dan ketua pengarah perkhidmatan awam) memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 10 Julai ini dan plaintif (Aminah) memfailkan afidavit balas sebelum atau pada 31 Julai ini.

“Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 6 Ogos ini,” kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.

Pada 29 Feb lalu, wanita itu memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan tersebut.

Aminah atas kapasiti peribadi dan bagi pihak 56 pesara lain selaku pemohon, memfailkan permohonan itu pada 12 Jan lalu dengan menamakan kerajaan dan ketua pengarah perkhidmatan awam sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980, sebelum pindaan bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) (PAA) 2013.

Sebelum ini, Aminah, bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, telah menyaman kerajaan dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerana mendakwa pindaan kepada PAA 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau, berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah PAA 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020, namun beliau telah merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan ketua pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022.

Bagaimanapun, pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, dan mahkamah itu turut menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah JPA untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Source link

Aminah Ahmadmahkamahpencenpenjawat awampesaraSemakan Kehakiman
Comments (0)
Add Comment