Perjuang BM, mengapa ‘tegur’ golongan elit, Ong persoal PM

Ong Kian Ming menyeru perdana menteri agar mencadangkan idea dan cara baharu untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan.
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur golongan elit yang dikatakan taasub dengan Bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan Bahasa Melayu.
“Saya tidak pasti mengapa perdana menteri mesti menyasarkan kumpulan tertentu apabila menekankan kepentingan bahasa kebangsaan,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam catatan di platform media sosial, X.
“Saya pasti ramai golongan korporat di Malaysia berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana itu amalan lazim, bukan kerana mereka membesar di London.”
Beliau berkata, perdana menteri sebaliknya perlu mencadangkan idea dan cara baharu untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan, seperti melalui audio siar.
Ong yang juga bendahari DAP Selangor berkata, beliau mendapati dirinya lebih banyak menggunakan Bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa itu apabila kerap mendengar episod audio siar Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Awal hari ini, Anwar berkata, sikap taasub dan keghairahan kelompok elit yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah.
“Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) Bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri,” katanya sambil mengingatkan golongan itu bahawa mereka berada di Malaysia dan mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Source link

anwar ibrahimBahasa InggerisBahasa kebangsaanbahasa melayugolongan korporatkeluar sekejapOng Kian Ming
Comments (0)
Add Comment