PETALING JAYA: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) memberi amaran sekatan operasi di bawah perintah kawalan pergerakan akan memberi kesan kepada bekalan sarung tangan getah global.
Dalam satu kenyataan, Presiden Margma, Denis Low berkata walaupun pengeluar dapat menyediakan bekalan sarung tangan getah yang cukup untuk pasaran domestik, kira-kira 120 juta keping, bagi memenuhi permintaan global menjadi sangat mencabar.
Beliau berkata pengeluar kini hanya dibenarkan beroperasi dengan 50% tenaga kerja di bawah perintah kawalan pergerakan bagi menghentikan penyebaran Covid-19.
“Ini bermakna hanya separuh daripada kuantiti biasa sarung tangan dihasilkan dan ia boleh menyebabkan kekurangan kronik untuk bekalan dunia.
“Malaysia adalah pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia dan kami bertanggungjawab memastikan sarung tangan yang cukup dibekalkan kepada hospital dan semua petugas kesihatan dalam perjuangan mereka untuk mencegah virus yang merebak ini.”
Low berkata pengeluar Malaysia dijangka dijangka mampu menghasilkan kira-kira 225 bilion keping tahun ini, atau 65% daripada permintaan global.
“Margma akan terus bercakap dengan kerajaan untuk membolehkan kami beroperasi pada kapasiti 100%, bersama dengan perkhidmatan sokongan dan pembekal bahan. Kita semua mesti bekerjasama dalam satu pasukan.
“Kami percaya banyak kerajaan di dunia akan menulis kepada kerajaan kita untuk mendapatkan persetujuan untuk industri kita beroperasi pada kapasiti optimum bagi memenuhi keperluan tinggi untuk sarung tangan perubatan.”
Beliau menambah dengan pengeluaran dikurangkan sebanyak 50%, kos akan meningkat “mendadak” sekurang-kurangnya 25%-30% tanpa mempertimbangkan kesan pada rantaian bekalan.
“Kami percayai kerajaan kita mempunyai belas kasihan dan perdana menteri kita dan menteri kita mahu membantu memerangi Covid-19.”