Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) muncul sebagai bank pertama di Malaysia menggunakan saluran pendaftaran mudah alih (MOB) untuk pelanggan runcit yang menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun lengkap termasuk pengeluaran kad debit serta-merta melalui janji temu.
Perkhidmatan perbankan depan pintu baharu melalui MOB itu akan mempercepat lagi proses pembukaan akaun sedia ada dan membolehkan pengeluaran nombor akaun dan kad debit dibuat serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, perkhidmatan perbankan depan pintu ini mudah dan menyenangkan pelanggan.
“Ia selamat dan dan menyenangkan apabila transaksi perbankan dilakukan dengan keberadaan kakitangan kami mengikut ruang dan waktu kelapangan pelanggan sendiri.
“Sebagai bank yang menekankan inovasi dan keselesaan, kami berhasrat meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan produk dan perkhidmatan Bank Islam seiring dengan trend dan keperluan semasa.
“Pengenalan MOB ini tepat pada masanya kerana Covid-19 tidak hanya menyukarkan pergerakan orang ramai, tetapi juga meningkatkan keperluan kami untuk beralih ke perkhidmatan perbankan inovatif yang cekap dan menjamin keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, perkhidmatan baharu ini tidak lagi memerlukan pelanggan untuk hadir ke cawangan yang terdekat bagi proses pengesahan berbanding kaedah terdahulu.
MOB menggunakan peranti tablet dengan perisian khusus yang membolehkan pembukaan beberapa jenis produk Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) serta Akaun Pelaburan seperti Al-Awfar dan iGain.
Sebelum ini, Bank Islam sudah memperkenalkan platform Pembukaan Akaun Maya (VAO) yang mana pelanggan boleh mengisi maklumat mereka secara dalam talian, tetapi memerlukan proses pengesahan diselesaikan di cawangan.
Proses pembukaan akaun menggunakan MOB hanya mengambil masa enam minit termasuk penyediaan kad debit dan tiada sebarang caj dikenakan.
Perkhidmatan hanya dengan janji temu ini tersedia di seluruh negara dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Untuk membuat janji temu bagi perkhidmatan ini, pelanggan boleh mengisi borang secara atas talian di pautan https://vao.bankislam.com.my/sales/ dan kakitangan Bank Islam akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan permohonan terbabit.
Pelanggan hanya perlu menyediakan MyKad dan dokumen sokongan lain yang berkaitan semasa janji temu.