Kuala Lumpur: Golongan peniaga dan penjaja kecil perlu terus diberi perhatian berikutan impak pandemik Covid-19 yang menyebabkan rata-rata mereka berdepan kekurangan modal.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya mendapati kira-kira 25,000 masyarakat peniaga kecil dan penjaja terkesan sehingga sekarang.
Katanya, pendapatan golongan peniaga kecil dilihat masih lagi terjejas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Keadaan peniaga kecil ini memang terbatas sejak pelbagai PKP dilaksanakan dan ada antara mereka yang masih lagi ‘teraba-raba’ untuk mengekalkan perniagaan mereka dalam situasi sekarang.
“Justeru, kami meminta kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memberi geran seperti yang diberikan di Sabah iaitu geran sebanyak RM1,000 sebagai modal pusingan untuk peniaga kecil.
“Selain itu, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan lanjutan moratorium pinjaman atau dari segi bayaran lesen dan sewa sehingga enam bulan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, ada juga peniaga yang terpaksa menjual aset mereka seperti kereta untuk mendapatkan semula modal.
Beliau berkata, sudah tiba masanya agensi kewangan bertoleransi dengan peniaga kecil ini kerana dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta ketiadaan vaksin lagi, menyebabkan orang ramai tidak yakin untuk keluar.
“Dalam tempoh ‘survival’ ini mereka tidak boleh berbuat apa, bayangkan mereka yang bekerja pun boleh kena buang kerja kemudian beralih menjadi peniaga kecil-kecilan, apatah lagi peniaga kecil yang memang sudah lama menjadikan perniagaan sumber pendapatan.
“Ada juga peniaga yang datang mengadu mereka terpaksa bersaing dengan warga asing yang mempunyai modal lebih besar.
“Apa yang saya lihat masyarakat penjaja kecil ini sudah semakin tenat bukan sahaja kekangan PKP, malah berdepan pesaing dari warga asing,” katanya.