Penduduk persoal harga ditawar pada pemaju kolam takungan Kg Bohol

Peguam Nasser Yusof dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinrara Alvin Lee (kiri) dalam sidang akhbar berkaitan penjualan tanah kepada pemaju kolam takungan Kampung Bohol.
KUALA LUMPUR: Penduduk di Kinrara meminta pihak berkuasa menjelaskan mengapa harga sebidang tanah yang ditawarkan kepada pemaju bagi menaiktaraf kolam takungan banjir di Kampung Bohol diletakkan di bawah pasaran.
Peguam yang diwakili penduduk Nasser Yusof, mempersoalkan adakah pemaju ditawarkan premium tanah yang rendah kerana pembabitan syarikat itu dalam projek pembangunan semula.
“Saya percaya kita semua perlukan penjelasan berkaitan prosedur membabitkan perjanjian ini kerana kami mahu tahu mengapa pemaju ditawarkan harga yang rendah ini,” katanya dalam sidang media di Kinrara.
Menurut Nasser, dianggarkan pemaju membayar RM74 satu kaki persegi untuk tanah seluas 25 hektar untuk tanah di sekeliling kolam berdasarkan harga premium RM41 juta dan kos untuk membangunkan semula kolam itu dianggarkan RM40 juta.
Bagaimanapun, katanya jumlah itu sukar diterima kerana purata harga tanah di Kinrara adalah kira-kira RM200 untuk satu kaki persegi.
Katanya, perjanjian itu akan mengwujudkan ‘kos lepas’ pada kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.
“Purata premium tanah di kawasan penduduk di Kinrara adalah RM200 satu kaki persegi, jika mengambil kira harga pasaran RM300 untuk satu kaki persegi dan harga rumah kerajaan RM100 satu kaki persegi.
“Berdasarkan kiraan ini, kerajaan dan orang awam rugi kira-kira RM138.60 satu kaki persegi atau RM136.8 juta untuk 25 hektar tanah.
“Apakah kewajaran pihak berkuasa menawarkan harga serendah RM74 satu kaki persegi? Apakah kriteria untuk harga serendah ini? Penduduk mahu tahu,” kata Nasser.
Pada 16 Mei lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa berkata kerajaan menjadikan ‘syarat mandatori’ kepada pemaju untuk menaiktaraf kolam takungan banjir sebelum sebarang arahan pembangunan dikeluarkan.
Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Firdaus Ibaruslan juga berkata langkah itu menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana projek naik taraf itu menelan belanja RM40 juta tetapi kos itu kini ditanggung pemaju.
Zaliha dan Firdaus mengeluarkan kenyataan itu selepas penduduk Kinrara menyuarakan bantahan cadangan projek pembangunan perumahan di kolam takungan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinrara Alvin Lee mengulangi semula desakan untuk kerajaan mempertimbangkan semula cadangan itu dengan alasan sebarang pembangunan baru akan meningkatkan kesesakan trafik dan risiko banjir di kawasan itu.
“Kami berharap tiada lagi pembangunan di kawasan ini kerana kami tidak mahu berdepan lagi dengan banjir. Setiap kali hujan saya dan keluarga sering bimbang berlakunya banjir,” kata Lee.

Source link

Kampung Boholkinrarakolam takungan banjirpembangunanpendudukperumahanTaman Kinrara
Comments (0)
Add Comment