PENDEPOSIT Lembaga Tabung Haji (TH) perlu realistik dengan agihan keuntungan tahun kewangan 2020 berikutan suasana ekonomi global yang tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19 serta kejatuhan harga minyak mentah dunia.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara berkenaan menyebabkan kemeruapan yang tinggi dalam pasaran kewangan di peringkat global dan juga domestik.
Katanya, agihan keuntungan sebanyak 3.05 peratus yang diberikan kepada pendeposit TH, sememangnya tinggi berbanding 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.
“Prestasi ini dicapai meskipun tahun 2019 menghadapi suasana ekonomi global yang mencabar akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta beberapa negara lain yang juga mengamalkam dasar ekonomi yang protectionist (melindungi).
“Di samping itu, suasana Brexit di United Kingdom, ketidaktentuan harga komoditi minyak serta faktor geopolitik dilihat memberi kesan kepada prestasi pelaburan.
“Pendapatan pelaburan TH banyak disumbangkan oleh pelaburan aset pendapatan tetap yang menjana 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan.
“Perkara ini menunjukkan bahawa peruntukan aset yang memberi fokus kepada kelas aset berisiko rendah adalah sesuai dengan tahap toleransi risiko oleh TH,” katanya kepada Bisnes Metro.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pendeposit perlu memahami asal penubuhan TH bukan sebagai institusi kewangan bersifat pelaburan.
“Objektif tertubuhnya TH adalah untuk memudahkan pencarum mengerjakan haji dan wang itu boleh digunakan untuk membuat pelaburan dan memberi subsidi kepada jemaah haji.
“Kalau pendeposit berharap wang disimpan dalam TH adalah bagi mendapatkan keuntungan yang tinggi, mereka silap kerana TH bukan tempat sesuai untuk melabur.
“Pendeposit perlu menukar pemikiran dan tanggapan kerana jika mereka mahu dividen tinggi, seharusnya mereka meletakkan wang ke institusi pelaburan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.