SEREMBAN: Polis menahan 25 individu termasuk pemandu bas ekspres dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Yam Tuan, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim berkata bas itu ditahan pada kira-kira 10.30 pagi.
“Seramai 25 orang ditahan termasuk pemandu, kelindan serta penumpang bas berkenaan yang terdiri daripada 3 lelaki tempatan dan 22 warganegara Indonesia membabitkan 17 lelaki dan 5 wanita kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Semua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 66 tahun dan mereka direman 2 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.