PETALING JAYA: Pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang didakwa memijak juniornya akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa, berkata individu itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Arahan untuk pertuduhan ke atas suspek akan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mahkamah Kuala Lumpur pagi esok,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, polis merakam percakapan 16 individu sepanjang siasatan itu.
Sebelum ini, Rusdi dilaporkan berkata, kejadian pada 10.45 malam 21 Okt lalu berlaku ketika mangsa berusia 19 tahun berada di tepi padang kawad selepa selesai panggil nama.
Pelajar tahun satu itu dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk dan belakang akibat dipijak seprang pelatih tahun tiga UPNM.
Laporan polis kejadian itu hanya dibuat 8 Nov lalu.
Ini kes serangan kedua yang dilapor membabitkan kadet UPNM bulan lalu.
Pada 8 Nov lalu, pegawai kadet UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang junior dengan menekap seterika wap di dada kanannya pada 22 Okt lalu.
Source link